Skip this ad x
ABRAHAM (kanan) melengkapkan jaringan hatrik di Molineux, lewat malam tadi. — FOTO EPA
AFP

FRANK Lampard tidak pernah meragui Tammy Abraham akan membuat impak dalam Liga Perdana Inggeris namun berharap penyerang Chelsea itu mampu mengekalkan persembahan semasanya.

Abraham mengumpul tujuh gol dalam tiga perlawanan terakhir dengan hatrik mengagumkan ketika kelabnya menang 5-2 di Wolverhampton Wanderers, lewat malam tadi.

Sesudah bergelut melakukan impak dalam dua aksi pertama kempen Liga Perdana, pemain berusia 21 tahun itu membalas kepercayaan Lampard terhadapnya yang menjadikan Abraham sebagai penyerang utama.

Pengurus Chelsea itu menegaskan bagaimanapun kini cabaran menanti pemain kebangsaan England itu adalah untuk mengekalkan permulaan menakjubkannya pada awal musim.


CUTRONE (tengah) meledak gol kedua Wolves. — FOTO Reuters

“Saya yakin terhadapnya dan saya sedia memberikannya peluang, namun kini saya akan lebih berkeras dengannya kerana kini dia sudah menunjukkan apa yang boleh dilakukannya,” kata Lampard.

“Saat dia mahu bersenang lenang dan memikirkan gol akan singgah di kakinya akan menjadi detik dia direhatkan.

“Amat penting untuk memastikan dia kekal dengan permainannya. Saya mempunyai saingan di sana dan saya tidak mahu menghina Oli Giroud atau Michy Batshuayi.”

Abraham meledak dua gol sebelum rehat (minit ke-34 dan 41) selepas Fikayo Tomori (m-31) meletakkan Chelsea di depan dan sekali lagi selepas rehat (m-55) dengan Mason Mount (m-96) melengkapkan kemenangan.

Wolves membalas menerusi gol sendiri Abraham (m-69) dan Patrick Cutrone (m-85).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 8:14 AM