Mike pandang serius pencabarnya di Batam. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


JAGUH badan, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah tidak mendabik dada walaupun turun sebagai juara bertahan Mr Asia untuk tahun keempat berturut-turut pada edisi 2019, hujung bulan nanti.

Jaguh berusia 46 tahun itu tetap memandang serius cabaran bakal dihadapinya pada edisi ke-53 Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik di Batam, Indonesia yang dijadual bermula pada 27 Oktober ini.

"Sasaran memang mahu mengekalkan kejuaraan buat tahun kelima berturut-turut namun saya perlu berwaspada.

Setiap tahun pasti ada pencabar baru yang muncul dan saya beranggapan tahun ini tidak terkecuali.

"Jadi saya tidak boleh selesa. Saya fokus kepada persiapan diri sendiri dengan kini sudah 80 ke 90 peratus bersedia untuk menghadapi kejohanan," kata pemenang kategori kategori fizik lelaki bawah 71 kilogram itu.

Menurut Mr Universe sebanyak tiga kali itu, persiapan sejak dua bulan lalu berjalan lancar walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri dalam terutamanya dari segi makanan tambahan.

"Saya terpaksa bergelut dari segi kewangan kerana tidak mempunyai penaja yang mencukupi dan terpaksa keluar duit poket sendiri sekitar RM3,500 sebulan bagi makanan tambahan," katanya.

Syarul Azman atau dikenali sebagai Mike mula meraih gelaran Mr Asia pada 2015, 2016, 2017 dan 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 3:48 PM