Yoke Meng sedia bantu hasilkan pemain berpotensi. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


BAGI menjayakan Projek 24 dibentangkan oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) minggu lalu, ketua jurulatih remaja negara, Kwan Yoke Meng sedia menggilap serta menjadi pengeluar bakat baru berpotensi.

Menurutnya, proses untuk melahirkan pemain perlu dilakukan sepantas yang boleh sama seperti beberapa projek sebelum ini termasuk ketika era 1988, 1990 dan 1992.

"Memang kalau boleh kita perlu mempercepatkan proses peningkatan prestasi dan tahap pemain remaja. Lagi cepat lagi bagus.

Ia memang mengambil masa selama empat hingga lima tahun," katanya ditemui di pusingan akhir Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM (ABNJL), hari ini.

Kata Yoke Meng, untuk membantu projek berkenaan bukan satu masalah buatnya kerana sejak dari 2015 beliau tidak putus-putus mencari lebih ramai bakat di peringkat remaja.

"Sebenarnya sejak dua tahun lalu kita sudah menjalankan proses pembangunan pantas.

Sebagai contoh Fazriq (Razif) sejak di tingkatan dua sudah berlatih dengan pemain tingkatan tiga.

"Ketika dia di tingkatan tiga bersama Justin Hoh, mereka ikut saya untuk berlatih bersama pemain tingkatan empat dan lima.

Ini sangat baik buat pemain remaja bagi mencari kualiti dan daya ketahanan yang lebih bagus," kata Yoke Meng.

Ditanya mengenai Kejohanan Remaja Dunia yang akan berlangsung di Kazan pada 30 September hingga 5 Oktober, beliau berharap mampu untuk membawa pingat sekali gus memadam kekecewaan ketika di Kejohanan Remaja Asia apabila pulang dengan tangan kosong.

"Apa pun pertandingan yang disertai sudah pasti kita akan memberikan yang terbaik. Jadi kali ini juga sama di Kazan dengan harapan kita mampu untuk membawa pulang satu atau dua pingat dalam acara individu.

"Kita sedar Kejohanan Remaja Dunia kali ini memiliki kualiti yang sangat tinggi. Bagaimanapun kita akan cuba sedaya upaya untuk memenangi sesuatu di sana," katanya.

Yoke Meng pernah membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 juga mengharapkan dua pemain perseorangan lelaki, Shaqeem Eima Shahyar dan Wyman Goh mampu meraih pingat di kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 4:00 PM