Pemain Perak, Nor Hakim Hassan (kanan) mencabar pemain Pahang, Matthew Davies (kiri). FOTO BERNAMA
Farah Suhaidah Othman


DOLLAH Salleh mengakui keserasian skuad Tok Gajah terjejas ketika menentang Perak pada aksi perlawanan Piala Malaysia malam tadi berikutan enam tonggaknya tidak dapat bersama dalam latihan bagi menyusun strategi selepas terbabit dengan tugasan skuad kebangsaan.

Empat dari pemainnya iaitu Norshahrul Idlan Talha, Matthew Davis, Mohamadou Sumareh dan Muhamad Nor Azam Abdul Azih terikat dengan skuad kebangsaan pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 selepas menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Selasa lalu.

Dua lagi iaitu Muhamad Safuwan Baharudin beraksi untuk pasukan kebangsaan Singapura dan Saddil Ramdani bersama pasukan Indonesia.

Pengendali Pahang itu berkata, permainan pasukan Pahang tidak mempamerkan corak permainan sebagaimana selalu dan akui persembahan anak buahnya agak kucar-kacir malam tadi.


Dollah tidak dapat keserasian enam tonggaknya. FOTO NSTP

"Puncanya mungkin sebab enam pemain kebangsaan iaitu empat dari kita (skuad Harimau Malaya) dan dua lagi dari Singapura dan Indonesia terpaksa bertemu di Ipoh.

"Kita tidak dapat adakan latihan namun saya bagi mereka bermain jadi di situ tidak ada keserasian selepas tiga minggu tidak bersama dan malam ini memang bukan pasukan Pahang yang sebenar," katanya selepas perlawanan di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi.

Kekalahan skuad kendaliannya dengan keputusan 1-3 malam tadi bagaimanapun tidak menjejaskan kedudukan Pahang yang sudah menempah tiket untuk ke pusingan suku akhir.

Beliau turut mengakui, pengesahan selaku juara kumpulan dan layak ke pusingan seterusnya turut menjadi punca anak buahnya tewas pada perlawanan malam tadi.

"Mungkin sebab lain pemain agak selesa dengan kedudukan kita yang sudah layak tetapi saya percaya kita akan bangkit walaupun berbaki satu lagi perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:08 PM