MUHAMMAD Shahrel (kiri) bersaing mendapatkan bola dengan pemain Pahang, Matthew Thomas Davies dalam saingan Piala Malaysia 2019 Perak menentang Pahang di Stadium Perak, Ipoh.
Farah Suhaidah Othman


PENYERANG Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi bagaikan ‘lepas geram’ apabila tampil sebagai wira, menyumbat dua gol menewaskan Pahang sekali gus membuka peluang pasukan The Bos Gaurus (TBG) mara ke pusingan suku akhir saingan Piala Malaysia.

Shahrel menyumbang dua gol menerusi tandukan pada minit ke-45 dan minit ke-47 bagi meletakkan skuad TBG di hadapan dengan kedudukan 3-0 sebelum Lazarus Kaimbi menghasilkan gol sagu hati buat pasukan Pahang pada minit ke-85.

Aksinya malam itu seolah-olah ‘membalas dendam’ apabila sudah lama tidak beraksi bersama pasukan Perak dan peluang itu diperolehi selepas pemain import, Raianderson Da Costa Morais atau dikenali Careca, tidak diturunkan malam tadi akibat kecederaan.

Shahrel berkata, dia bersyukur kerana ketua jurulatih, Mehmet Durakovic memberi kepercayaan kepadanya untuk bermain menggantikan Careca.

“Sepertimana yang kita tahu, Careca dan Leandro tak ada (malam tadi), jadi jurulatih percaya (kemampuan) saya dan saya sudah buktikan yang saya mampu.

“Malam ini (malam tadi) saya memang lepas geram sebab sudah lama tidak bermain, kali terakhir saya menjaringkan gol pada April lalu jadi malam ini memang saya hendak buktikan kemampuan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu di Stadium Perak, di sini malam tadi.

Beliau bagaimanapun menafikan aksi [membalas dendam’ itu kerana kecewa tidak dapat beraksi dalam kesebelasan utama Harimau Malaya dalam dua aksi menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

“Dalam skuad kebangsaan, jurulatih Tan Cheng Hoe tahu apa yang dia lakukan dan saya sendiri tidak boleh melepasi pengalaman Mat Yo (Norshahrul Idlan Talha) jadi saya cuma belajar dari dia,” katanya.

Dalam pada itu, Durakovic berkata peluang Shahrel atau lebih mesra dengan panggilan Eky, akan datang bila tiba masanya.

“Sebagai pemain bola sepak, kadang kala mereka diturunkan dan ada kalanya tidak, dan Malaysia mempunyai skuad yang bagus.

“Bagi penyerang tempatan, bukan mudah untuk sebaris dengan kesebelasan utama tetapi Shahrel Fikri adalah (pemain) masa depan dan apabila dia dapat bermain malam ini, saya bangga dengan dirinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 6:33 PM