AKSI Pereyra selepas menyamakan kedudukan buat Watford. - FOTO Reuters
Reuters

KAPTEN Arsenal, Granit Xhaka mendakwa pasukannya gementar selepas mempersiakan kelebihan dua jaringan ketika seri 2-2 di Watford dalam aksi Liga Perdana, malam tadi.

Kemenangan dapat meletakkan Arsenal di tangga ketiga dan mereka tampak hampir melakukannya menerusi dua jaringan Pierre-Emerick Aubameyang pada babak pertama di Vicarage Road.

Tetapi Arsenal hilang cengkaman pada babak kedua dengan membenarkan tuan rumah bangkit melalui jaringan Tom Cleverley sebelum Roberto Pereyra menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas dikasari David Luiz.

Watford nyaris meraih kemenangan dramatik selepas mendapat dua peluang terbaik pada lewat permainan namun gagal disempurnakan penyerang mereka.

Arsenal melepaskan sembilan gol dalam empat aksi terakhir Liga Perdana selepas menang 1-0 di Newcastle United. Mereka juga membenarkan lawan melakukan 96 percubaan ke gawang, lebih banyak daripada mana-mana pasukan di liga utama Eropah.

Watford sendiri melakukan 31 percubaan, paling banyak dihadapi Arsenal sejak rakan kerjasama statistik Liga Perdana, Opta mengumpul data pada 2003-04.

Pemain antarabangsa Switzerland, Xhaka mempunyai pandangan sendiri selepas tamat perlawanan.

"Apa yang telah berlaku, di mana silapnya? Itu soalan yang baik,” katanya kepada BBC. "Ketika rehat di bilik persalinan semuanya bagus. Kami gembira tetapi keluar semula dan beraksi dengan buruk pada babak kedua. Anda sudah tentu berkata yang kami gembira meraih mata.

"Kami sebenarnya gementar pada babak kedua. Kami tahu mereka akan datang kepada kami dan terus menekan tetapi kami sepatutnya lebih menunjukkan karakter dan tidak takut.

“Kami berkata mengenainya dan tidak boleh beraksi seperti ini pada babak kedua.

"Kami terus diasak dan gagal bermain seperti biasa, kami terlalu takut dan tiada siapa mahu bola. Anda sepatutnya kekal tenang, kuatkan mental tetapi ia tidak menjadi hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 8:34 AM