Pelapis berpotensi akan diserap ke dalam kem karate kebangsaan. FOTO NSTP
Iskandar Shah Mohamed


PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) sedang mengenal pasti atlet pelapis yang dilihat berpotensi untuk diserapkan dalam kem karate kebangsaan.

Senarai prospek atlet muda itu dinilai menerusi Kejohanan Terbuka Makaf Karate Kadet, Junior dan Bawah 21 Kebangsaan yang berlangsung selama tiga hari di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Serdang Jaya, Seri Kembangan, bermula Jumaat lalu.

Timbalan Presiden Makaf, Vincent Chen berkata, pihaknya mendapati banyak atlet muka baharu yang mempunyai potensi untuk terus menyinar sekali gus menyertai skuad karate negara.

"Jurulatih dan pegawai teknikal kami akan mengenal pasti atlet berkenaan termasuk berdasarkan keputusan yang diperoleh mereka dalam kejohanan itu.

"Makaf kemudian akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan senarai atlet pelapis yang berkelayakan untuk menyertai kem kebangsaan," katanya kepada Arena Metro.

Kejohanan kali ke-29 dirasmikan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi dan dihadiri Presiden Karate-Do Selangor, M Panneerselvam.

Kata Vincent, kejohanan disertai seramai 400 atlet dan 27 kelab karate seluruh negara itu dianggap mencapai objektif penganjurannya kerana mendapat sambutan luar biasa.

"Kali ini, ia terbuka kepada semua berbanding hanya ahli Makaf sebelum ini selain kadar yuran penyertaan yang lebih berpatutan," katanya.

Dalam pada itu, Panneerselvam sebagai peneraju tuan rumah kejohanan berkata, sebanyak 38 kategori kata dan kumite dipertandingkan membabitkan penyertaan atlet berusia 14 hingga 21 tahun termasuk Sabah serta Sarawak.

"Selain mahu mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat tinggi dan memberi pengalaman di acara berskala besar, ia sekali gus membangunkan sukan karate ke tahap lebih cemerlang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 3:26 PM