Hajat Jin Wei mungkin tidak kesampaian. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran


HASRAT pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei untuk mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Filipina November depan mungkin tidak kesampaian.

Ini kerana ketua jurulatih skuad wanita negara, Datuk Tey Seu Bock berkata, pemain berusia 19 tahun itu belum pasti untuk disenaraikan ke temasya dwi tahunan itu selepas belum pulih daripada masalah kesihatan diperutnya.

"Terus-terang Jin Wei belum pasti lagi. Mungkin ada perubahan dan saya tak berani menyatakan Jin Wei 100 peratus akan bermain untuk Sukan SEA.

"Jika Jin Wei tak dapat beraksi, mungkin saya akan menyenaraikan S Kisona atau dalam masa tiga bulan ini mana-mana pemain yang paling menonjol dan meyakinkan di dalam kejohanan disertai, saya akan beri peluang kepada mereka beraksi di Sukan SEA," katanya.

Seu Bock mengakui kemungkinan ketiadaan Jin Wei yang tidak beraksi di saingan kompetitif sejak Jun lalu bukan sahaja memberi impak dalam acara perseorangan tetapi juga berpasukan.

"Secara realiti inilah saja pemain yang kita ada. Sebab itu saya mengharapkan untuk Projek 24 nanti saya akan memperoleh kelompok pemain yang ramai.

"Untuk tempoh terdekat memang saya akui sukar mencari pemain bagus dan yang paling bagus ketika ini adalah Kisona," katanya.

Jin Wei memenangi pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) selepas menewaskan rakan senegara, Sonia Cheah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 3:35 PM