MARCO Reus.
AFP

KAPTEN Borussia Dortmund Marco Reus menegaskan hari ini bahawa pasukannya mampu menewaskan Barcelona tidak kira sama ada Lionel Messi bermain atau tidak, tetapi bimbang jika Dortmund yang ‘terpaksa menderita’ apabila kedua-dua pasukan bertemu awal pagi Rabu.

Messi mungkin tidak diturunkan untuk perlawanan itu susulan kecederaan betis tetapi Reus membayangkan Dortmund mampu menang jika mereka bermain dengan kekuatan tersendiri berbanding terlalu memikirkan mengenai lawan.

“Kami perlu tumpukan terhadap diri sendiri. Kami mempunyai pasukan yang bagus, beraksi di laman sendiri dan kami mampu menang perlawanan ini,” kata Reus pada sidang media hari ini.

“Sudah pasti ia akan menjadi perlawanan yang mencabar esok dan kami akan mengalami penderitaan yang teruk,” katanya.

Aksi pembukaan Liga Juara-Juara awal pagi esok adalah pembuka tirai yang mencemaskan Dortmund ketika mereka berhasrat mahu melepasi kumpulan maut yang terdiri daripada Barcelona, Inter Milan dan Slavia Prague.

Namun Reus berkata pasukannya yakin mereka mampu bermula dengan baik dengan menewaskan Barcelona awal pagi Rabu.

“Adalah penting kami bermula dengan baik. Kami cukup yakin untuk mengatakan kami boleh memenangi perlawanan ini,” katanya.

“Kami mahu menguji kemampuan kami menentang pasukan terbaik. Kami perlu berani, terus berusaha dan cuba menjaringkan gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 9:59 PM