COLEMAN atlet pilihan acara 100 meter. - FOTO Agensi
Reuters

ATLET pecut pilihan, Christian Coleman dan Noah Lyles serta pemegang rekod dunia 400 meter berpagar wanita, Dalilah Muhammad mengetuai cabaran kontinjen Amerika Syarikat menghadapi Kejohanan Olahraga Dunia bulan ini, menurut pengumuman Trek dan Padang AS.

Pasukan berbakat itu mengandungi lapan juara bertahan dan 13 pemenang pingat emas Olimpik Rio.

Naib juara dunia acara 100 meter, Coleman muncul pelumba pilihan meraih emas kali ini dengan Noah - juara 100 dan 200m Liga Berlian menjadi pilihan acara 200m di kejohanan berlangsung pada 27 September hingga 6 Oktober depan di Doha.

Juara Olimpik, Dalilah Muhammad mencipta rekod baharu dunia acara 400m berpagar dengan catatan 52.20 saat di kejohanan AS pada Julai lalu. Justin Gatlin (100m), Sam Kendricks (lompat bergalah), Christian Taylor (lompat kijang), Tori Bowie (100m wanita), Phyllis Francis (400m wanita), Kori Carter (100m berpagar wanita), Emma Coburn (3,000m lari berhalangan wanita) dan Brittney Reese (lompat jauh wanita) bakal mempertahankan gelaran dunia yang dimenangi pada 2017 di London.

Dalilah dan Christian turut meraih emas di Sukan Olimpik Rio 2016 selain Matthew Centrowitz (1,500m), Jeff Henderson (lompat jauh), Ryan Crouser (lontar peluru), Brianna Rollins McNeal (100m berpagar wanita) dan Michelle Carter (lontar peluru wanita).

Pasukan AS turut mendapat suntikan keyakinan apabila sembilan atlet mereka mempamerkan prestasi terbaik tahun ini menerusi Coleman, Lyles, Kendricks, Muhammad, Michael Norman (400m), Grant Holloway (110m berpagar), Will Claye (lompat kijang), Jenn Suhr (lompat bergalah wanita) dan DeAnna Price (lontar tukul bes wanita) yang semuanya mencatat catatan terbaik tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 1:07 PM