TENGKU Tajuddin (tengah) mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa. — FOTO Effendy Rashid
Saiful Affendy Sapran


“SECARA jujur saya sudah tetapkan kelayakan Sukan Olimpik kali ini percubaan terakhir saya di pentas antarabangsa.”

Demikian pengakuan penyerang veteran negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang bersedia bersara daripada skuad kebangsaan sekiranya gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jelas pemain berusia 33 tahun itu, sudah tiba masanya peluang diberi kepada generasi lebih muda daripadanya untuk menggalas tugas bersama skuad negara selepas ini.

“Ini memang perjalanan terakhir saya. Jadi saya akan cuba memberikan persembahan terbaik untuk membantu pasukan meraih keputusan positif pada kempen kelayakan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan hari ini.


TENGKU Tajuddin melayan soalan wartawan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini. — FOTO Azhar Ramli

Tengku Tajuddin yang mewakili skuad senior sejak 2006 bagaimanapun berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih, Roelant Oltmans mengenai masa depannya jika skuad negara layak ke Olimpik.

“Selagi jurulatih memerlukan khidmat saya, maka saya akan teruskan.

“Tapi kalau misi kali ini gagal buat apa saya teruskan lagi. Lebih baik bagi peluang kepada pemain muda berbakat,” katanya.

Malaysian Tigers akan bertemu Britain pada 2 dan 3 November depan di London bagi memburu satu slot ke Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 6:46 PM