LETSHANAA sedia tebus kesilapan di Suzhou. — FOTO Adzlan Sidek
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS dilabel kurang memberangsang pada Kejohanan Remaja Asia, perseorangan wanita negara, K Letshanaa bersedia memadam kekecewaan itu pada Kejohanan Remaja Dunia di Kazan, Russia hujung bulan ini.

Menurut pemain berusia 16 tahun itu, dia kini berasa lebih yakin terutama selepas membantu Selangor meraih gelaran hatrik pada Liga Remaja Kebangsaan AirAsia-BAM.

“Saya rasa lebih yakin sekarang, terutama selepas beraksi di Liga Remaja Kebangsaan kerana ia membantu terutama dari segi menyesuaikan diri dalam dewan berhawa dingin,” katanya.

Letshanaa juga berharap momentum di Liga Remaja Kebangsaan mampu membantunya beraksi penuh semangat selepas kecewa dengan persembahannya sendiri pada Kejohanan Remaja Asia di Suzhou, China, Julai lalu.


ZHING Yi turut bertanding di Kazan. — FOTO Abdullah Yusof

“Sebenarnya pada Kejohanan Remaja Asia memang saya beraksi dengan kurang baik. Jurulatih juga menyatakan prestasi saya tidak berapa bagus. Bagaimanapun, saya berazam untuk bermain dengan cemerlang pada Kejohanan Remaja Dunia.

“Selepas kejohanan di Suzhou, saya mengambil masa tiga minggu untuk memperbaiki segala kelemahan,” katanya yang menjadikan bintang India, Pusarla V Sindhu sebagai idola.

Tugas Letshanaa di Kazan memang amat berat kerana dia turut mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan pingat emas yang diraih Goh Jin Wei di Markham, Kanada tahun lalu.

Selain Letshanaa, turut membawa cabaran negara dalam aksi perseorangan wanita adalah Tan Zhing Yi, Myisha Khairul dan Arena Satu Samin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 7:02 PM