PENYERANG PKNS, Romel Morales (tengah) diasak pemain TFC, Lee Tuck (kiri) dan Shukur Jusoh di Stadium Shah Alam. — FOTO Roslin Mat Tahir
Syafiq Aznan


NAIB juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC (TFC) menempah pertemuan dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir musim ini.

Ia selepas skuad Penyu menamatkan saingan Kumpulan A di tangga kedua dengan 12 mata sekalipun meraih kemenangan 2-0 ke atas pasukan yang sudah tersingkir PKNS FC pada aksi di Stadium Shah Alam, malam ini.

Juara kumpulan menjadi milik Kedah yang terpaksa ‘berpeluh’ menentang Negeri Sembilan sebelum menang 4-2 di Alor Setar yang menyaksikan mereka unggul satu mata mengatasi TFC.

Pada aksi malam ini, anak buah Nafuzi Zain bermula garang apabila mendahului seawal minit keempat menerusi rembatan kencang Sanjar Shaakhmedov dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran Ashari Shamsudin.

Belum sempat PKNS mencatur gerak untuk mendapat rentak, TFC sekali lagi mengejutkan mereka hasil serangan balas pantas selepas lorongan Lee Tuck menemui Kipre Tchetche yang tidak berdepan masalah menewaskan Zarif Irfan Hashimuddin pada minit kesembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 11:50 PM