SELVARAJU dan Mun Fatt.
Saiful Affendy Sapran


KRISIS kekurangan pembabitan pemain kaum lain selain Melayu di dalam sukan hoki dijangka berpanjangan.

Bekas pemain kebangsaan, S Selvaraju berkata, dia tidak mahu memberi kata-kata manis pembabitan kaum lain terutama di dalam skuad kebangsaan akan berlaku seperti dahulu.

“Agak mustahil untuk berlaku lagi. Tetapi jika semua orang mula bekerjasama dan mengamalkan nilai-nilai murni yang bermaksud tiada sebarang agenda lain, saya fikir ia boleh berlaku semula. Dulu saya dapat mendalami budaya orang Melayu, Cina dan Singh, tetapi sekarang ini sifat untuk mengenali kepelbagaian kaum itu sudah tiada.

“Dengan mengenali lebih dekat budaya kaum lain anda akan dapat memahami mereka dengan lebih baik dan hubungan sesama kaum juga lebih erat. Tapi ia tidak berlaku pada zaman sekarang. Ibu bapa kepada kaum India sebagai contohnya ketika ini lebih menitikberatkan pelajaran ke atas anak mereka. Jadi minat ke arah sukan seperti hoki itu sudah tidak ada,” katanya.


LAPORAN Harian Metro, semalam.

Bagi seorang lagi bekas pemain negara, Lam Mun Fatt, persekitaran yang berbeza pada era kini mendorong kepada kepupusan pemain kaum lain di dalam sukan hoki.

“Saya lihat ibu bapa ketika ini terlalu mengawal anak mereka. Waktu zaman saya dahulu keluar main bola jam 3, 4 petang ketika panas terik tak ada siapa pun nak marah termasuk ibu bapa.

“Tapi sekarang ibu bapa risau anak mereka akan jatuh sakit. Kemudian mereka juga bimbang dengan isu seperti penculikan,” katanya.

Seperti Selvaraju, Mun Fatt juga berkata, Malaysia mungkin memerlukan masa lebih lama untuk melihat pasukan dengan dibarisi pelbagai kaum seperti satu ketika dahulu.

“Saya memang rindukan pasukan kita seperti zaman dahulu. Paling saya tak dapat lupa apabila menyanyikan lagu Negaraku kami berdiri bersatu tidak kira kaum dan agama.

“Ketika Ramadan, kami menghormati rakan-rakan Muslim yang berpuasa. Walaupun haus terasa nak minum air, kami tidak akan minum.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:30 AM