TER Stegen menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi Reus di Dortmund. - FOTO AFP
AFP

JURULATIH Barcelona, Ernesto Valverde berkata, pasukannya perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen selepas mereka seri 0-0 menentang Borussia Dortmund dalam aksi pembukaan Liga Juara Juara, awal pagi tadi.

"Pasukan berjaya mengelak nasib buruk hari ini terutamanya hasil sumbangan Ter Stegen," kata Valverde selepas menyaksikan skuadnya terselamat daripada serangan menggila Dortmund pada babak kedua.

Lionel Messi kembali beraksi selepas pulih kecederaan namun ketangkasan Ter Stegen yang lebih menyinar bersama Barcelona. Penjaga gol Jerman itu menafikan sepakan penalti kapten Dortmund, Marco Reus dan beberapa kali menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi penyerang Barca.

"Perlawanan yang sukar dan saya fikir keputusan ini adil berdasarkan apa yang berlaku,” kata Ter Stegen kepada Sky sambil bersimpati kepada rakan sepasukannya di Jerman, Reus.

"Marco beraksi sangat baik hari ini dan kerap mengancam kubu kami,” kata Ter Stegen.

Keputusan seri itu membolehkan semua empat pasukan dalam Kumpulan F berkongsi mata selepas Inter Milan dan Slavia Prague berakhir 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 7:54 AM