CHELSEA juara Liga Europa musim lalu. - FOTO Agensi
AFP

MANCHESTER United dan finalis tahun lalu, Arsenal mengetuai cabaran kelab Inggeris selain pendatang baharu Wolves manakala juara lima kali, Sevilla antara pasukan pilihan menjelang aksi pertama peringkat kumpulan Liga Europa awal pagi Jumaat ini.

Pencabar dari Scotland, Celtic dan Rangers berdepan tugas sukar layak ke saingan kalah mati manakala Roma dan Lazio menggalas misi Itali bagi menamatkan kemarau gelaran selama dua dekad.

Porto, PSV Eindhoven dan Feyenoord antara bekas juara Piala Eropah yang turut mengintai peluang dalam kejohanan itu.

Juara Liga Europa 2017, United melayan kunjungan Astana dalam Kumpulan L yang juga pertama kali dalam sejarah skuad Ole Gunnar Solskjaer menentang pasukan dari Kazakhstan.

United dijangka tiada masalah melepasi peringkat kumpulan yang turut mengandungi Partizan Belgrade dan bekas finalis, AZ Alkmaar dari Belanda.

Skuad Unai Emery, Arsenal kembali ke kejohanan itu selepas tewas 1-4 kepada Chelsea pada final musim lalu di Baku sekali gus The Blues meraih slot kelayakan Liga Juara Juara.

Gunners berkunjung ke Eintracht Frankfurt manakala juara 10 kali Belgium, Standard Liege dan wakil Portugal, Vitoria Guimaraes turut berada dalam Kumpulan F.

Wolves yang bertanding kali pertama di Eropah sejak 1980 menentang wakil Portugal, Braga dalam aksi pembukaan di Molineux.

Skuad Nuno Espirito mengharungi tiga perlawanan sebelum mara ke peringkat kumpulan. Mereka menewaskan Torino 5-3 secara agregat dalam aksi playoff.

Juara Scotland, Celtic menentang juara Piala Perancis, Rennes di tempat lawan dalam aksi Kumpulan E manakala juara Piala Itali, Lazio dan CFR pasti mencetuskan saingan sengit untuk mara ke peringkat kalah mati.

Rangers kendalian Steven Gerrard menentang skuad Jaap Stam, Feyenoord di tempat sendiri dalam Kumpulan G yang turut mengandungi Porto dan juara Switzerland, Young Boys.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 2:04 PM