Skip this ad x
AKSI Abid (kiri) yang menawan pencari bakat Cerezo Osaka. FOTO Sportflex Images
Firdaus Hashim


SELEPAS dua penyerang muda negara Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Luqman Hakim Shamsuddin menyinar di Jepun, seorang lagi penyerang cilik, Abid Safaraz Rozaidi bakal menyusul apabila kelab Liga Jepun (J1) Cerezo Osaka berminat untuk ‘memancingnya.’

Abid yang membantu skuad Malaysia Warriors muncul juara kejohanan Piala Global J Green Bawah 12 (B-12) di Osaka, Jepun Isnin lalu, berjaya memikat perhatian Cerezo terutamanya ketika dia menjaringkan dua gol menewaskan kelab itu pada suku akhir.

Jelas pelatih Akademi Tunas Kubang Pasu di Kedah itu, dia bersedia untuk menyahut panggilan kelab J1 itu dan sanggup berjauhan dengan keluarga meskipun baru berusia 12 tahun.

Katanya, ia umpama mimpi yang menjadi kenyataan dan sekiranya mendapat tawaran dia enggan melepaskan peluang itu.

“Saya tak sangka Cerezo Osaka berminat dengan saya kerana saya biasa sahaja, tidak hebat mana. Sekiranya perkara itu benar, saya amat gembira untuk menyertai mereka meskipun saya tahu saya akan berjauhan dengan keluarga.

“Saya akan rindu dengan keluarga sekiranya saya berada di sini (Osaka, Jepun) tapi itu bukan halangan. Ini kerana ilmu dan pengalaman yang saya peroleh di sini nanti amat berharga dan boleh menjadikan saya pemain bola sepak yang berjaya.

“Mereka (Cerezo) mempunyai kemudahan latihan yang baik serta corak latihan berbeza berbanding di Malaysia. Saya nak jadi pemain bola sepak yang berjaya sebab saya nak kumpul duit untuk bawa mak pergi Makkah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:00 PM