PEMAIN import Kedah, Fernando Rodriguez diasak pemain Negeri Sembilan di Stadium Darul Aman. - FOTO Sharul Hafiz Zam
Mohd Amin Jalil


PENGENDALI Negeri Sembilan, Zaki Sheikh Ahmad menyerahkan kedudukannya dalam pasukan itu kepada pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) selepas hasrat membawa pasukan berkenaan melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia, tidak kesampaian.

Perjuangan NS berakhir selepas tewas kepada Kedah 2-4, di Alor Setar, Selasa lalu. Beliau mengambil alih tugasan itu sejak 20 Julai lalu daripada ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris yang direhatkan membawa NS menamatkan saingan di tangga ketiga carta Kumpulan A dan gagal ke saingan suku akhir.

"Saya serahkan kepada pengurusan tertinggi PBNS untuk menentukan kedudukan sama ada kekal sebagai jurulatih pasukan atau sebaliknya.

"Mereka (kepemimpinan PBNS) mempunyai penilaian tersendiri dalam hal ini dan kita tunggu keputusan akan dibuat," katanya malam tadi.

Zaki, 59, yang menandatangani kontrak setahun sehingga berakhirnya saingan musim ini, bagaimanapun mengakui masih berminat bersama skuad Hobin Jang Hobin.

Beliau yang sebelum ini bertindak sebagai penolong jurulatih, akui pengurusan pasukan itu perlu membuat persiapan awal bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan. "Pengurusan perlu mengambil langkah awal menghadapi musim depan terutama dari segi pemilihan pemain tempatan dan import untuk memastikan pemain dipilih benar-benar berwibawa serta mampu membantu menjulang kembali NS dalam liga tempatan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian NS musim ini, Zaki yang pernah membimbing Sarawak, akui terkilan kerana gagal membawa skuad Rusa melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia namun tetap puas hati dengan pencapaian skuad bimbingannya.

Beliau akur kemampuan NS yang hadir selaku wakil dari Liga Perdana berhadapan pasukan lawan daripada Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 1:10 PM