Meor Riduwan Meor Ahmad


MESYUARAT Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 hari ini memutuskan untuk mempertandingkan semula angkat berat sebagai satu sukan pilihan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan berita gembira itu selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di kementerian itu.

Menurutnya, keputusan dibuat secara bersama ahli jawatankuasa itu mengambil kira perkembangan positif iaitu sukan angkat berat sudah dibersihkan daripada isu doping.

“Keputusan ini atas perkembangan amat baik iaitu sukan angkat berat tidak lagi dikaitkan atau dibersihkan daripada skandal doping. Pada masa sama bukan saja di Malaysia tetapi juga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Sukan angkat berat ini memang dekat di hati rakyat Malaysia secara keseluruhan. Ia tidak dimasukkan kerana isu doping, tapi kita lihat perkembangan baik dan buat keputusan tetap secara bersama untuk masukkan semula sukan angkat berat dalam SUKMA di Johor,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sheikh Umar Bagharib Ali, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Media sebelum ini melaporkan gara-gara tiga kes ‘kantoi’ doping pada SUKMA di Perak pada 2018, sukan angkat berat diletakkan dalam senarai simpanan sekali gus agak samar untuk dipertandingkan dalam temasya sama di Johor tahun depan.

Susulan insiden itu, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bertindak meminda perlembagaannya bagi memperkukuh langkah pencegahan doping.

Jawatankuasa disiplin khas mengendalikan proses doping turut diwujudkan dan bekerjasama dengan MSN dan Majlis Sukan Negeri dalam pemilihan jurulatih angkat berat di peringkat negeri.

Syed Saddiq berkata, mesyuarat sama juga memutuskan sukan silambam buat pertama kalinya dimasukkan dalam SUKMA 2020 sebagai sukan demonstrasi.

Katanya, ia bertujuan memberi peluang persatuan silambam membuktikan kemampuan sebelum dijadikan sukan pilihan dan mengupayakan persatuan di peringkat negeri.

“Fokusnya untuk kuatkan di peringkat negeri kerana kita mendengar keluhan beberapa pengarah negeri bahawa sukan ini masih belum bertapak dengan kukuh. Mungkin membebankan negeri jika kita buat keputusan terburu-buru,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat juga dimaklumkan mengenai cadangan daripada Selangor dan Sabah untuk menjadi penganjur SUKMA 2022 dan ia akan dibincang dalam sesi khas kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:19 PM
SYED Saddiq mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2020 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Putrajaya.