ADAM Norrodin
Saiful Affendy Sapran


PENGALAMAN pahit gagal menamatkan perlumbaan pada penampilan pertamanya di saingan Moto2 Grand Prix (GP) San Marino minggu lalu tidak mahu diulangi lagi oleh Adam Norrodin menjelang pusingan seterusnya di GP Aragon minggu ini.

Adam yang menggantikan Khairul Idham Pawi untuk pasukan PETRONAS Sprinta Racing berikutan kecederaan tangan rakan senegaranya itu, gagal menamatkan perlumbaan minggu lalu selepas terjatuh pada perlumbaan sebenar.

Bagaimanapun Adam mempamerkan prestasi cukup meyakinkan terutama pada sesi latihan bebas dan kelayakan sebelum impiannya untuk menamatkan perlumbaan berkecai.

Jelas Adam, Aragon sentiasa memberikan pengalaman manis untuknya terutama ketika beraksi pada musim penuh Moto3 dan Kejohanan CEV.

“Bagi saya ia sememangnya litar yang jauh lebih baik berbanding Misano. Jentera saya juga agak baik minggu lalu dan saya bertambah yakin,” katanya.

Jelas Adam, satu kelemahan paling ketara untuknya ketika ini adalah memahami alat elektronik yang digunakan untuk jentera Moto2.

“Ia akan menjadi cabaran besar untuk saya minggu ini kerana saya rasa agak ketinggalan di dalam perkara ini.

“Apapun saya pasti kerja keras bersama dengan pasukan akan dapat meraih keputusan yang positif minggu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:30 PM