BENJAMIN Dyball.
Azlan Muhammad Zain


PASUKAN benua negara, Team Sapura Cycling (TSC) mengesahkan “berpisah” dengan ayam tambatannya, Benjamin Dyball yang akan bersama pasukan berstatus Jelajah Dunia.

Pemenang jersi kuning (individu keseluruhan) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 dari Australia berkenaan akan menyertai Team Dimension Data pada musim depan dengan principal TSC, Mohd Sayuti Zahit mengesahkan perkembangan itu.

“Saya sudah menerima pengesahan dari Dyball bahawa dia akan menyertai Team Dimension Data. Saya agak terkejut dan pada masa yang sama bangga kerana sudah terdapat pelumba yang disambar pasukan Jelajah Dunia dari TSC yang hanya berusia beberapa tahun.

“Ia adalah salah satu objektif jangka panjang TSC, menyediakan platform kepada semua pelumba untuk mengintai peluang bersama pasukan Jelajah Dunia,” katanya.

Pelumba berusia 30 tahun berkenaan menyertai TSC pada musim ini dengan meraih sejumlah podium namun pencapaian tertinggi adalah pada dua kejohanan berstatus 2HC (hors class) iaitu jersi kuning di LTdL dan kemenangan satu peringkat Tour of Qinghai Lake di China.

“Impian semua pelumba adalah berkayuh bersama pasukan Jelajah Dunia dan tidak mustahil akan ada pelumba tempatan turut ke Jelajah Dunia suatu hari nanti.

“Saya berharap Dyball akan bersaing pada Jelajah Utama tahun depan seperti Tour de France, Giro D Italia dan Vuelta Espana,” tambah Sayuti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:40 PM