MOHD Yusoff Mahadi. FOTO arkib NSTP
Nazri Abu Bakar


PENGURUSAN pasukan Melaka United (MU) mengakui pemain skuad terbabit masih berdepan tunggakan gaji selama dua bulan menjelang aksi berdepan Pahang pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, Ahad ini.

Pengurus pasukan MU, Mohd Yusoff Mahadi, mengharapkan kejayaan melayakkan diri ke suku akhir akan kembali menarik perhatian penaja untuk menyuntik dana yang dijanjikan sebelum ini.

Menurutnya, Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) yang juga Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sebelum ini juga sudah menyatakan kesediaan penaja untuk melunaskan janji mereka, justeru ia diharap bakal menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat.

Katanya, kesungguhan pemain beraksi pada tahap terbaik dalam aksi berdepan PDRM di Stadium Hang Jebat, malam tadi untuk mara ke suku akhir amat membanggakan.

“Apapun MUSA tetap berusaha agresif untuk melunaskan tunggakan gaji berkenaan yang dihadapi pemain skuad berkenaan kali ini.

“Justeru mara ke peringkat terbabit dan memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ini diharapkan mempercepatkan proses penaja untuk menghulurkan komitmen mereka,” katanya.

Sebelum ini, isu tunggakan gaji berkenaan hangat diperkatakan di media sosial sebelum dan selepas skuad berkenaan mara ke suku akhir.

Malah, ia mendapat pelbagai respon peminat setia Hang Tuah yang mahu persatuan terbabit bertindak segera mengatasi permasalahan isu tunggakan gaji berkenaan.

Yusoff berkata, masalah tunggakan gaji sememangnya berlaku sejak awal musim, namun mereka tetap dibayar termasuk situasi yang sedang dihadapi pada masa ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden MUSA berkata, dia sememangnya mengharapkan bayaran berkenaan akan dilakukan segera, sekali gus membakar semangat pemain untuk beraksi dengan lebih cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:27 PM