TUNKU Ismail
Syazwan Msar


KEPIMPINAN baharu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan meneruskan segala perancangan dan strategi yang direncanakan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim demi pembangunan menyeluruh sukan nombor satu itu pada masa akan datang.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, MFL sentiasa mengekalkan legasi serta terus menghayati semangat juang Tunku Ismail yang berjaya membawa dan mengharumkan Liga Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, antara cetusan Tunku Ismail adalah merangka Strategi Pelan Induk MFL Next50 2021-2070 khususnya mengangkat martabat Liga Malaysia dan pasukan-pasukan ke arah lebih profesional serta berdaya saing.

“Sudah pasti pelan induk itu akan menjadi salah satu agenda utama MFL di mana saya percaya semua pihak dan rakan kongsi MFL akan berganding bahu untuk menjayakan pelan strategik itu.

“Saya berharap semua barisan Ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan MFL bekerja keras memberikan komitmen tinggi untuk lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya, dalam satu kenyataan kepada media, di sini.

Sebelum itu, MFL mengadakan majlis penghargaan kepada Tunku Ismail sebagai tanda menghargai segala sumbangan dan jasa Tunku Ismail ketika menerajui badan pentadbir Liga Malaysia itu.

Tampuk kepimpinan MFL bertukar tangan apabila Hamidin dipilih menerajui badan pengurusan liga bolasepak itu menerusi undian Ahli Lembaga Pengarah dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga 2019.

Pemilihan Hamidin itu dibuat selepas pemegang taruh MFL bersetuju meminda Perlembagaan badan pengurusan liga itu dengan jawatan pengerusi ditukar kepada presiden selain calon menyandang kerusi tertinggi adalah di kalangan Ahli Lembaga Pengarah MFL serta tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau kelab Liga Malaysia.

Perubahan itu sekali gus menyaksikan Hamidin dipilih mengambil alih teraju MFL daripada Tunku Ismail selaku pengerusi badan pengurusan liga itu sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 9:17 PM