PEMAIN Celtic, Scott Brown dan rakan sepasukan bergembira selepas tamat perlawanan. - FOTO Reuters
AFP

RYAN Christie menjaringkan penalti pada babak kedua ketika Celtic bangkit mengikat juara Piala Perancis, Rennes 1-1 dalam aksi sengit Liga Europa, awal pagi tadi.

Jaringan Christie pada minit ke-59 menyamakan kedudukan selepas Rennes terlebih dahulu di hadapan menerusi penalti M'Baye Niang dalam aksi Kumpulan E di Brittany itu.

Juara Scotland menamatkan permainan dengan 10 pemain selepas pemain gantian, Vakoun Issouf Bayo mendapat dua kad kuning tetapi keputusan itu memberi mereka keyakinan berdepan CFR Cluj di tempat sendiri selepas ini yang mengejutkan Lazio 2-1.

Skuad Neil Lennon bersemangat menunjukkan mereka juga mampu bersaing dengan pasukan ternama lain di peringkat Eropah selepas gagal melepasi kelayakan Liga Juara Juara.

Rennes melakukan beberapa perubahan sejak menjulang trofi tempatan musim lalu dan kini menduduki tangga Ligue 1 di belakang Paris Saint-Germain yang ditewaskan mereka di tempat sendiri bulan lalu.

Rennes turut menewaskan Arsenal di Roazhon Park dalam kejohanan ini musim lalu walaupun pada akhirnya mereka disingkirkan lawan sama dalam saingan 16 terakhir.

Bagaimanapun, ketika penyokong tuan rumah mengejek skuad mereka selepas tamat perlawanan, penyokong lawan pulang ceria sambil mengharapkan Celtic mampu menebus kekalahan ke atas Cluj yang menyingkirkan mereka daripada pusingan kelayakan Liga Juara Juara.

Dalam aksi Kumpulan G, skuad Steven Gerrard, Rangers menewaskan Feyenoord 1-0 di Ibrox hasil jaringan Sheyi Ojo pada babak pertama sekali gus menyuntik semangat bagi berdepan Young Boys selepas ini yang tewas 1-2 di Porto menerusi dua gol Tiquinho .

Nasib berbeza dialami pasukan Liga Perdana, Wolverhampton Wanderers yang tewas di tempat sendiri selepas jaringan tunggal Ricardo Horta pada babak kedua membolehkan Braga menang 1-0 dalam aksi Kumpulan K di Molineux.

Dalam kumpulan sama, Slovan Bratislava menewaskan Besiktas 4-2 di tempat sendiri manakala Sevilla yang menjuarai Liga Europa tiga kali menewaskan Qarabag 3-0 di Azerbaijan dalam Kumpulan A dengan Javier Hernandez membuka tirai jaringan.

Dalam aksi Kumpulan D, PSV Eindhoven memulakan kempen dengan menewaskan Sporting Lisbon 3-2 manakala Roma membelasah Istanbul Basaksehir 4-0 dalam Kumpulan J.

Dalam aksi kumpulan sama, Borussia Moenchengladbach dimalukan di tempat sendiri apabila tewas 0-4 kepada kelab Austria, Wolfsberg sekali gus kekalahan terbesar mereka di tempat sendiri dalam saingan Eropah.

Sementara itu, kelab Switzerland, Basel berpesta gol selepas menewaskan FC Krasnodar 5-0 di St Jakob Park.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 8:25 AM