AKSI skuad bawah 15 (B-15) menentang Laos malam tadi. FOTO facebook FAM
Meor Riduwan Meor Ahmad


MOMENTUM kemenangan skuad bawah 15 (B-15) tersekat apabila tewas tipis, 0-1 kepada Laos dalam perlawanan kedua kempen Kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-16 di Stadium Nasional di Vientiane, Laos, malam tadi.

Seperti diramal, Laos mengasak sejak awal sebelum berada di depan menerusi Lavi Somthongkhram pada minit keempat yang bijak melorongkan bola di celah kaki penjaga gol, Zulhilmi Sharani.

Gol berpunca kesilapan pemain Malaysia yang gagal mengawal bola di tengah padang sebelum dirampas pemain lawan yang menghantar terus di antara dua pertahanan negara di dalam petak D dan disambar pemain berjersi no 21 itu.

Biarpun anak buah P Maniam melakukan serangan balas, pemain lawan kental bertahan dan keputusan kekal 1-0 sehingga tamat perlawanan separuh masa pertama.

Menyedari ketinggalan, skuad negara cuba melakukan asakan awal di separuh masa kedua dan hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan padu, Izrin Ibrahim, namun percubaan kaki kirinya melewati palang gol pada minit ke-53.

Sementara itu pujian harus diberikan kepada Zulhilmi yang menyelamatkan sekurang-kurangnya dua percubaan tepat oleh lawan.

Skuad negara terus diuji apabila pertahanan, Alif Farhan Fauzi dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning pada minit ke-80.

Dalam satu lagi perlawanan Jepun membenam cabaran Kemboja, 8-0 untuk mengungguli Kumpulan J dengan enam mata, manakala Malaysia yang berkongsi mata dengan Laos di tangga kedua, hasil perbezaan gol.

Biarpun tewas, peluang masih terbuka untuk skuad negara jika menewaskan skuad Samurai Biru pada perlawanan terakhir pada Ahad, jam 3 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:45 PM