VELODROM Nasional sentiasa mendapat sambutan hangat pelbagai pihak. FOTO Iqmal Haqim Rosman


MAHAL, namun masih mendapat sambutan!

Velodrom Nasional yang dibina dengan kos RM80 juta boleh dilabel sebagai antara pelaburan yang membawa pulangan seperti yang diharapkan.

Kebimbangan terhadap fasiliti moden berkenaan yang mungkin menjadi projek ‘gajah putih’ selepas temasya Sukan SEA 2017 nyata meleset.

Menurut penyelia Velodrom Nasional, Mohd Farid Mohamad Fauzi, velodrom kelas 1 yang terletak di Nilai itu sentiasa padat dan mendapat sambutan hangat pelbagai pihak.

“Apa yang boleh saya katakan, ia bukan projek gajah putih dan terbiar. Sejak dua tahun lalu, penggunaannya sentiasa meningkat terutamanya di kawasan trek.

“Saya sentiasa mendapat permintaan dari pelbagai pihak untuk menggunakannya. Malah, saya menasihatkan sekiranya terdapat pihak yang berminat untuk menggunakan kawasan trek, mereka perlu menempah sebulan lebih awal bagi mengelak sebarang kesulitan.

“Ada kalanya kakitangan terpaksa bekerja pada hujung minggu serta lewat malam bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Menurut Farid, keutamaan trek adalah kepada penggunaan pelumba negara bagi latihan mereka dalam menghadapi kejohanan.

“Kami mempunyai lima kelompok pelumba yang menggunakannya iaitu elit (pecut dan endurance), remaja (pecut dan endurance) serta para berbasikal. Pada masa sama terdapat pasukan negeri seperti Sabah, Johor, Kedah dan sebagainya turut menggunakannya.

“Ini belum termasuk permintaan pasukan luar negara yang turut berminat menjalani kem latihan di Nilai. Antara yang pernah menggunakannya adalah Afrika Selatan, Singapura, Iran dan dalam masa terdekat, Taiwan.

“Sebagai tambahan, terdapat kejohanan yang sememangnya diadakan setiap tahun di sini seperti siri Junior Cycling Malaysia, Sport Excel BMX dan sebagainya. Saya fikir setiap tahun sekurang-kurangnya kami mempunyai enam atau tujuh kejohanan,” katanya.

Jelas Farid, persepsi masyarakat dan orang awam perlu diubah kerana Velodrom Nasional bukan sekadar lokasi untuk pelumba trek.

Tambahnya, ia juga mempunyai kemudahan lain yang boleh digunakan bagi pelbagai tujuan.

“Antaranya kami mempunyai trek BMX, bilik seminar, infield (kawasan di tengah trek) dan asrama yang boleh digunakan pelbagai pihak. Kami membuka kepada semua pihak yang berminat menjalankan aktiviti mereka yang bersesuaian termasuk kawasan parkir di luar velodrom.

“Selain itu kami turut menerima permintaan dari syarikat pengiklanan untuk menjalankan rakaman seperti iklan CIMB bersama Azizulhasni Awang baru-baru ini. Ia antara langkah kami mempelbagaikan kegunaan velodrom,” katanya.

Ditanya mengenai kadar sewa, beliau menjelaskan ia terbahagi kepada tiga kategori iaitu swasta, kerajaan dan institusi/sekolah/persatuan yang sudah ditetapkan pada kadar tertentu oleh Kementerian Kewangan.

“Dari segi pendapatan, kita perlu melihat kepada penggunaan yang diberikan kepada atlet negara untuk berlatih yang tidak dikenakan sebarang caj kerana semua adalah di kendalian Majlis Sukan Negara (MSN).

“Jika semuanya diambil kira, saya fikir kami tidak mengalami kerugian yang ketara kerana pendapatan adalah sekitar RM70,000 hingga RM80,000 sebulan. Namun, sekiranya ditolak penggunaan atlet negara, pendapatan adalah sekitar RM20,000 hingga RM30,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 6:00 AM