Saiful Affendy Sapran


PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal kekal dengan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya itu sekiranya skuad hoki lelaki negara gagal layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu yang diumumkan berlangsung 16 November depan.

Bagaimanapun jelas Subahan, pihaknya tetap akan menyediakan perancangan rapi dalam tempoh empat tahun akan datang untuk skuad lelaki dan wanita negara.

Antara perancangan yang sudah disusun itu termasuklah membida sebagai tuan rumah Piala Dunia Lelaki dan Wanita 2022 atau 2023 serta Piala Dunia Remaja Wanita 2021.

“Tak semestinya bila saya sudah tidak menjadi presiden lagi, saya tidak melakukan perancangan rapi.

“Sepertimana kami membincangkan perancangan empat tahun lalu, begitulah juga yang perlu dilakukan empat tahun akan datang.

“Sekiranya berlaku perubahan kepimpinan, maka kepimpinan baru harus meneruskan program yang sudah disediakan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat ahli Lembaga Eksekutif MHC yang terakhir semalam.

Subahan sebelum ini sudah menyatakan pendirian untuk tidak mempertahankan jawatannya itu andai anak buah Roelant Otlmans gagal layak ke Tokyo.

Skuad negara akan menghadapi kempen kelayakan bertemu Britain pada 2 dan 3 November depan di London.

Sementara itu, Subahan mengumumkan pengendali skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah akan menggantikan Yahya Atan selaku ketua jurulatih skuad dalam dewan wanita yang akan beraksi di Sukan SEA Filipina bermula 30 November depan.

Meskipun Dhaarma mempunyai tempoh yang singkat untuk mempersiapkan pasukan, Subahan yakin pengendali negara itu mampu membantu pasukan meraih pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 6:13 PM
SUBAHAN Kamal pada sidang media Sempena Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif kali ke 14 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.