AZLAN Shah (tengah) muncul juara dalam Pusingan Enam Perlumbaan Satu ASB1000 bergambar selepas penyampaian hadiah Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Saiful Affendy Sapran


PELUMBA ASB1000, Azlan Shah Kamaruzaman mendominasi perlumbaan pertama pusingan keenam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini sekali gus merampas kedudukan kedua keseluruhan daripada rakan senegara, Zaqhwan Zaidi (Honda Asia Dream Racing With Showa).

Bermula di petak kedua, pelumba pasukan Onexox TKKR SAG Racing itu mempamer tunggangan meyakinkan ketika tumpuan awal lebih kepada Zaqhwan yang memimpin saingan sebelum terjatuh di pusingan kedua.

Azlan kini mengumpul 168 mata ketinggalan 33 mata di belakang pendahulu keseluruhan, Broc Parkes (Yamaha Racing Team Asean) yang mengumpul 201 mata dengan perlumbaan kedua akan berlangsung esok sebelum pusingan terakhir di Buriram, Thailand dari 29 November sehingga 1 Disember depan.

“Di awal saingan perlumbaan sangat sukar dan agak bercelaru. Ketika itu saya hanya mahu fokus kepada strategi mengurangkan penggunaan tayar.

“Hanya selepas lima pusingan terakhir dan strategi itu berjaya hari ini.

“Saya tak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri dan hanya mahu fokus kepada baki perlumbaan selepas ini terutama pada pusingan terakhir di Burriram,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Ramdan Rosli dari pasukan Onexox TKKR SAG Racing memenangi perlumbaan Supersport 600cc ketika Peerapong Boonlert (Yamaha Thailand Racing) dinobatkan selaku juara keseluruhan kategori itu selepas menduduki tempat ketiga.

“Kemenangan ini cukup bermakna selepas saya gagal menamatkan tiga perlumbaan sebelum ini kerana masalah teknikal,” kata Ramdan.

Pelumba negara juga mendominasi saingan Underbone 150 menerusi Md Akid Aziz (Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 7:22 PM