GELAGAT Lukaku selepas menjaringkan gol kedua Inter di San Siro. - FOTO AFP
AFP

ROMELU Lukaku melonjak Inter Milan ke puncak Serie A selepas menjaringkan gol ketika menewaskan AC Milan 2-0, awal pagi tadi.

Jaringan penyerang Belgium, Lukaku dan Marcelo Brozovic pada masa kedua memberikan Inter kemenangan keempat berturut-turut meletakkan mereka dua mata di hadapan Juventus yang bangkit menewaskan Verona 2-1 menerusi jaringan pertama Aaron Ramsey dan penalti Cristiano Ronaldo.

Tiga mata diraih menyuntik kembali keyakinan skuad Antonio Conte yang hanya mampu seri 1-1 menentang wakil Czech, Slavia Prague dalam aksi Liga Juara Juara.

Dalam pertarungan musuh setempat itu, Lukaku menanduk masuk gol ketiga daripada empat perlawanan apabila mendapat hantaran cantik Nicolo Barella ketika berbaki 12 minit permainan selepas Brozovic meletakkan Inter di depan menerusi rembatan yang terkena kaki pemain lawan pada minit ke-49.

"Pada usia 26 tahun, saya perlukan jurulatih seperti ini yang sentiasa memotivasikan saya setiap hari,” kata Lukaku merujuk kepada Conte.

"Hubungan saya dengan Conte sangat kuat. Dia memang jurulatih yang bagus kerana dia sentiasa mahu memajukan pemainnya. Saya sangat gembira di sini dan memakai jersi ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:31 AM