PEMAIN Granada, Victor Diaz (kiri) diasak Anssumane Fati. - FOTO Reuters
Reuters

BARCELONA tewas mengejut 0-2 di Granada dalam aksi La Liga awal pagi tadi sekali gus permulaan liga terburuk mereka dalam masa 25 tahun.

Barca yang bermula tanpa penjaring terbanyak sepanjang zaman, Lionel Messi dan sensasi remaja, Ansu Fati ketinggalan pada minit kedua menerusi tandukan Ramon Azeez selepas pertahanan, Junior Firpo gagal mengawal bola dengan cermat.

Jurulatih Barca, Ernesto Valverde membawa masuk Messi dan Fati selepas rehat bagi meningkatkan serangan tetapi tuan rumah yang berjaya menjaringkan gol kedua menerusi penalti pada minit ke-66.

Reviur VAR mendapati bola terkena tangan Arturo Vidal dan penyerang, Alvaro Vadillo tenang menewaskan penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen yang menyelamatkan sepakan penalti pemain Borussia Dortmund, Marco Reus dalam aksi Liga Juara Juara, Khamis lalu.

"Kekalahan ini menyakitkan dan membuatkan kami bimbang dan kami perlu perbaiki keadaan ini,” kata Luis Suarez selepas Barca mengalami kekalahan kedua dalam lima aksi liga sekali gus permulaan terburuk mereka sejak musim 1994/95.

Catalan kini menduduki tangga ketujuh La Liga dengan tujuh mata selepas lima perlawanan manakala Granada di puncak dengan 10 mata.

Sevilla di tangga kedua dengan 10 mata dan mereka boleh merampas kedudukan tangga teratas jika dapat mengatasi Real Madrid hari ini manakala Atletico Madrid di tangga ketiga selepas seri 0-0 dengan Celta Vigo awal pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 8:17 AM