SKUAD Negeri Sembilan gagal laksana misi PBNS musim ini.
Mohd Amin Jalil

"KEMUNGKINAN akan ada pemain sedia ada disingkirkan daripada pasukan terutama mereka yang tidak mencapai KPI (petunjuk prestasi utama)," kata Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Mohamad Taufek Abdul Ghani.

Beliau berkata, perkara itu proses biasa dalam sesebuah pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim baharu tahun depan.

Bagaimanapun, ia akan diputuskan dalam mesyuarat pengurusan tertinggi persatuan yang akan diadakan tidak lama lagi.

"PBNS menilai secara keseluruhan prestasi dan pencapaian pasukan sepanjang kempen Liga-M musim ini selepas gagal dalam misi melangkah ke saingan Liga Super musim 2020, selain terkandas ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

"Pengurusan akan melihat laporan prestasi jurulatih dan pemain serta menelitinya sebaik mungkin sebelum membuat keputusan. Sudah tentu akan ada perubahan dari segi pemain kerana musim depan juga menjanjikan cabaran sengit.

"Apa yang jelas dari segi pencapaian musim ini tidak banyak bezanya dengan musim lalu, namun saya yakin dalam tempoh tiga atau empat tahun ini, prestasi pasukan mampu melonjak apabila lebih ramai pemain muda berbakat dilahirkan daripada Sekolah Sukan Negeri di Kuala Pilah," katanya.

Skuad Hobin Jang Hobin yang dibimbing Mat Zan Mat Aris menamatkan saingan di tangga keenam Liga Perdana musim ini.

Mohamad Taufek Abdul Ghani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, akui PBNS kurang puas hati dengan prestasi Mat Zan sepanjang beliau mengendalikan skuad berkenaan sehingga keputusan merehatkan pengendali itu dibuat Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 1:09 PM