Azlan Muhammad Zain

PASUKAN benua tempatan, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) menamatkan dua perlumbaan di Jelajah Asia dengan bergaya.

Pada hari terakhir Tour of China II, TSG berjaya meraih jersi biru bagi kategori pecut menerusi pelumbanya dari Algeria, Youcef Reguigui yang muncul juara selepas berakhir peringkat keempat yang bermula dan berakhir di Mingshan, hari ini.

Youcef terikat 20 mata bersama pelumba Androni Giocattoli-Sidermec, Marco Benfatto selepas peringkat ketiga namun berjaya menambah lapan mata apabila menduduki tempat kedua di peringkat keempat.

Ia membolehkan Youcef mengumpul 28 mata berbanding Benfatto yang menamatkan saingan di kedudukan kelima untuk mengumpul 25 mata di kedudukan kedua pada perlumbaan berstatus 2.1 Jelajah Asia itu.

“Terdapat pencabar yang ramai di sini namun saya gembira kami berjaya mendapatnya. Ia adalah hasil kerjasama rakan dan staf pasukan,” jelas Youcef.

TSG turut muncul pada kedua terbaik keseluruhan selepas mengumpul 31 jam 54 minit 51 saat, tewas kepada pasukan profesional benua dari Itali, Androni Giocattoli-Sidermec yang dibezakan dengan 22 saat manakala Minsk Cycling Club ketiga.

Sementara itu pada saingan Tour de Siak yang berstatus 2.2 di Riau, Indonesia, TSG turut cemerlang apabila Nur Amirul Fakhruddin Mazuki mengekalkan jersi kuning bagi kategori individu keseluruhan selepas berakhir peringkat keempat hari ini.

Mohd Harrif Saleh berjaya meraih tempat kedua pada peringkat keempat namun tumpuan terakhir kepada rakan sepasukannya, Amirul yang memastikan jersi kuning kekal miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 9:26 PM