MARC MARQUEZ
AFP

MARC Marquez kini hanya perlukan satu perlumbaan lagi untuk menjulang gelaran MotoGP keenam selepas mempamerkan aksi dominan yang menyaksikannya menjuarai perlumbaan di Aragon hari ini.

Kemenangan kelapan pelumba berusia 26 tahun musim ini adalah yang keempat berturut-turut di Aragon Motorland yang terletak 160 kilometer dari kampung halamannya di Cervera dan kini dia mendahului 98 mata dalam kedudukan Kejuaraan Dunia dengan baki lima perlumbaan.

Pelumba Itali Andrea Dovizioso, yang melepasi garisan penamat di tempat kedua selepas bermula di petak ke-10, kekal menjadi pencabar terdekat Marquez, meskipun pelumba Honda itu mampu menjulang kejuaraan di Thailand bulan depan.

“Saya yakin dengan strategi saya dan saya rasa bagus. Saya mengasak pada awal perlumbaan, membuka jurang selama empat hingga lima saat dan mengekalkannya,” kata Marquez.


MARQUEZ meraikan kejayaan ungguli perlumbaan Aragon Motorland. -Foto AFP

“Saya gembira dengan kemenangan ini. Ia nampak mudah tetapi sebenarnya, kami bekerja keras. Kami mengalami pelanggaran pada Jumaat, jadi kami terus berusaha memperbaiki keadaan.

“Kami tahu Dovizioso tidak akan mengalah.”

Kemenangan Marquez di Thailand turut memadam impian Danilo Petrucci, Alex Rins, Maverick Vinales dan Valentino Rossi untuk menjulang trofi.

Sama ada Dovizioso atau Petrucci, kedua-duanya dari Ducati perlukan kemenangan untuk mengubah rentak saingan tetapi kejayaan terakhir pasukan itu di Aragon hanya dicatat pada 2010, ketika Marquez menjadikan litar sepanjang 5.077km itu bagaikan miliknya sejak beberapa tahun kebelakangan.

Dia menamatkan perlumbaan dengan catatan 41minit.57.221 saat, 4.836 saat mendahului Dovizioso dan 5.430 saat di depan pelumba Australia Jack Miller, yang menduduki tangga ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 9:36 PM