YASHIR Islame meraikan gol ketiga PKNP FC ketika menentang PJ City FC dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. -Foto MUHAIZAN YAHYA
Noor Hidayah Tanzizi


PKNP FC mara ke suku akhir Piala Malaysia selepas membelasah PJ City 3-0 pada aksi terakhir kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini, malam ini.

Pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-10 menerusi rembatan Yashir Islame selepas menerima hantaran Mukhairi Ajmal.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah K Devan cuba memperkemaskan permainan, namun peluang terbaik diperoleh menerusi sepakan percuma Serginho pada minit ke-25 berjaya dinafikan penjaga gol PKNP FC, Shafiq Afifi Suhaimi.

Bermula babak kedua, anak buah Abu Bakar Fadzim terus bernafsu menambah derita pasukan pelawat menerusi sepakan kencang Khairul Asyraf Sahizah yang berjaya menerjah gawang PJ City pada minit ke-46.

PJ City yang hanya memerlukan keputusan seri sahaja untuk layak kemudiannya cuba menyaingi PKNP FC namun beberapa percubaan Safee Sali gagal menemui penyudah.

Sebaliknya, PKNP berjaya memperoleh gol ketiga sekali lagi menerusi Yashir pada minit ke-62 sekaligus mengesahkan slot ke suku akhir.

Dengan kemenangan ini PKNP akan bertemu Kedah pada pusingan suku akhir pertama yang dijadualkan berlangsung Rabu ini di Stadium MPM, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 12:04 AM