PEMAIN Pahang, Dickson Nwakaeme (tengah) cuba mengasak pemain Melaka United, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (dua kanan) pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2019 di Stadium Hang Jebat, Krubong. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nazri Abu Bakar

KEBANGKITAN drastik Pahang pada babak kedua membolehkan skuad terbabit menang selesa ke atas Melaka United (MU) 3-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini.

Kebuntuan jaringan sepanjang 45 minit pertama menyaksikan saingan kelihatan seimbang buat Melaka untuk mencipta kejutan keatas pelawat.

Namun kelonggaran jentera pertahanan tuan rumah selain kepintaran percaturan barisan tengah dan penyerang pelawat pada babak kedua akhirnya menghadiahkan jaringan selesa buat skuad bimbingan Dollah Salleh.

Apapun pelawat yang lebih banyak menguasai saingan babak pertama sering memasuki kubu tuan rumah namun usaha mereka merobek kubu Hang Tuah tidak berhasil.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan pula yang kekal bertahan sepanjang episod pertama turut mengintai peluang jaringan namun pergerakan penyerangnya sering terbatas menembusi kubu kukuh dibina pelawat.

Bagaimanapun awal babak kedua menyaksikan saingan lebih terbuka dengan Melaka turut melakukan asakan lebih kerap berbanding 45 minit pertama.

Namun Pahang bingkas menampilkan kebangkitan bermula pada minit ke- 56 menerusi jaringan Lazarus Kaimbi yang menanduk masuk hantaran lintang kapten pasukan Matthew Davies.

Tuan rumah terus terhukum menerusi jaringan kedua lawan hasil penyudah menarik Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dua minit selepas itu.

Dickson Nwakaeme turut menghadiahkan jaringan ketiga pasukannya selepas menanduk masuk hantaran Sumareh pada minit ke-61.

Keputusan terbabit memberi kelebihan buat Tok Gajah bagi mengharungi suku akhir kedua Piala Malaysia di Kuantan 29 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 12:05 AM