PEMAIN Arsenal, Nicolas Pepe (kiri) diraikan Aubameyang dalam aksi di Stadium Emirates. - FOTO EPA
AFP

UNAI Emery memuji karakter pasukannya yang beraksi 10 pemain selepas dua kali bangkit untuk menewaskan Aston Villa 3-2 dan kembali menduduki kelompok empat teratas Liga Perdana malam tadi.

Jaringan menerusi sepakan percuma Pierre-Emerick Aubameyang pada minit ke-84 melengkapkan kebangkitan Gunners di Stadium Emirates sekali gus meraih tiga mata selepas tiga perlawanan tanpa kemenangan.

“Bagi saya dua perkara boleh dipelajari hari ini. Satu ialah karakter, semangat dan hubungan dengan penyokong. Dan kedua bagaimana kami boleh perbaiki bahagian pertahanan,” kata Emery.

Pertahanan Gunners sekali lagi terdedah walaupun memiliki kesemua pemain dengan Villa lebih mengancam pada babak pertama.

John McGinn sering menjadi ancaman ketika pemain antarabangsa Scotland itu dua kali menguji Bernd Leno daripada luar kotak penalti pada awal permainan.

Bagaimanapun, tuan rumah tidak mengendahkan amaran itu ketika McGinn dibenarkan menyelinap untuk menerima hantaran Anwar El Ghazi pada minit ke-20.

Ainsley Maitland-Niles kemudiannya mengasari Neil Taylor empat minit sebelum tamat babak pertama dan dilayangkan kad kuning kedua.

Tuan rumah memperolehi peluang selepas sejam perlawanan apabila Matteo Guendouzi dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Bjorn Engels.

Emery mengesahkan Aubameyang pilihan utama mengambil penalti tetapi dia memberikan peluang buat Pepe mencatat nama selaku penjaring untuk gol pertamanya sejak menyertai Arsenal daripada Lille.

“Ia keputusan besar untuk memberikannya peluang sekali gus memberikannya keyakinan,” kata Emery. “Tanggungjawab sebenarnya ialah kepada Aubameyang.

“Dia setiap hari mahu menjaringkan gol, sebagai penanda aras individu, jadi keputusan itu dibuat oleh pemain yang hebat.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 8:26 AM