RAFAEL Nadal menjulang trofi Piala Laver di hadapan rakan sepasukan di geneva. - FOTO Reuters
AFP

ALEXANDER Zverev menghadiahkan Eropah kemenangan dramatik ke atas Pasukan Dunia di Geneva, awal pagi tadi selepas pemain Jerman itu menewaskan Milos Raonic dalam aksi penentuan acara perseorangan.

Juara bertahan itu ketinggalan 7-11 tetapi Zverev selepas Roger Federer menewaskan John Isner bekerja keras mengatasi Raonic 6-4, 3-6, 10-4 bagi menghampakan skuad John McEnroe untuk kejayaan pertama dalam edisi ketiga itu.

Sebaliknya, skuad Eropah Bjorn Borg meraih kemenangan ketiga sejak kejohanan itu diwujudkan pada 2017.

"Pasukan Dunia sekali lagi hampir meraih kejayaan tetapi kami meraih mata dan dibantu sedikit tuah,” kata kapten, Borg.

"Saya sangat bangga dengan pasukan, mereka melakukan tugas dengan cemerlang dan sebagai kapten, sudah tentu saya sangat gembira.”

Selepas Rafael Nadal menarik diri akibat kecederaan tangan, Isner dan Jack Sock menewaskan Federer dan Stefanos sebelum Taylor Fritz mengatasi cabaran Dominic Thiem bagi membolehkan Pasukan Dunia menang satu lagi perlawanan untuk menjulang trofi.

Tetapi Federer menewaskan Isner 6-4, 7-6 (7/3) bagi membolehkan kejuaraan ditentukan menerusi pemenang di antara Zverev dan Raonic.

"Saya tak pernah beraksi seperti ini, ia sukar dipercayai,” kata Zverev.

"Ia sangat istimewa terutamanya beraksi di hadapan anda semua dan memberikan kepercayaan kepada beraksi pada perseorangan terakhir. Saya berharap dapat beraksi lagi di kejohanan ini sepanjang karier saya.”

Eropah akan mempertahankan gelaran mereka di TD Garden, Boston pada September 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 10:34 AM