PEMAIN PKNP FC, Yashir Pinto (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan di di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - FOTO Muhaizan Yahya
Noor Hidayah Tanzizi


SELEPAS cemerlang menewaskan PJ City 3-0 semalam, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menuntut pemainnya meneruskan momentum pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Rabu ini.

Menurut Abu Bakar, mereka perlu mencari kemenangan dan memastikan gawang PKNP tidak bolos pada pertemuan dengan Kedah bagi meraih bekalan selesa ke Alor Setar untuk aksi suku akhir kedua.

Jelasnya, biarpun Kedah berada di tahap tersendiri, dia percaya anak buahnya tidak gentar dan yakin mereka dapat memberikan saingan sengit kepada lawan.

"Mesti berazam dan mempunyai cita-cita tinggi (untuk menang) dan paling penting jangan bolos.

"Ia akan menjadi sukar kalau kita dibolosi atau tewas kerana aksi di Kedah bukan mudah, malah kita ada sejarah tewas dengan mereka dalam Piala Malaysia sebelum ini.

"Jadi suku akhir pertama penting untuk merencanakan permainan kedua nanti," katanya pada sidang media di Stadium MPM, malam tadi.

Mengulas mengenai perlawanan malam tadi, Abu Bakar berkata, dia berpuas hati dan bangga dengan persembahan anak buahnya biarpun perlawanan terpaksa ditunda dua kali sebelum ini.

Sementara itu, ketua jurulatih PJ City, K Devan tidak menjadikan faktor sebahagian besar pemainnya yang dijangkiti wabak Influenza B sebelum ini sebagai punca kekalahan dan menyifatkan pertahanan mereka kurang baik dengan melakukan beberapa kesilapan. Menurutnya, gol awal PKNP menjejaskan perancangan mereka dan terpaksa mengamalkan corak permainan menyerang dan mempunyai peluang menjaringkan gol namun dinafikan pertahanan tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 11:22 AM