AKSI Cresswell (kanan) menjaringkan gol ketika menentang Manchester United di Stadium Olympic London. - FOTO EPA
Agensi

JOSE Mourinho mengkritik keras prestasi Manchester United selepas tewas 0-2 di West Ham semalam dan menganggap tiada peningkatan dalam skuad Ole Gunnar Solskjaer sejak musim lalu.

Jaringan Andriy Yarmolenko dan Aaron Cresswell menghadirkan kekalahan kedua daripada enam aksi Liga Perdana dan persembahan hambar di Stadium London itu mengundang kritikan keras daripada Mourinho.

Walaupun mengakui skuad kendaliannya pada awal musim 2018-19 turut menerima nasib sama sebelum digantikan Solskjaer, Mourinho berkata pencapaian United musim ini tiada bezanya berbanding musim lalu yang menamatkan kedudukan di tangga keenam liga walaupun diperkuatkan dengan kedatangan Aaron Wan-Bissaka, Harry Maguire dan Daniel James di Old Trafford.

Ketika ditanya Sky Sports sama ada dia mendapati aspek positif dalam prestasi United, Mourinho berkata: "Tidak…saya tak menjumpainya.

"Kami memang teruk musim lalu tetapi saya tak nampak sebarang peningkatan musim ini walaupun dengan tiga pemain baharu tetapi secara peribadi saya suka dengan tiga pemain ini yang berkualiti kepada pasukan.

"Tetapi kepada pasukan keseluruhan, saya sama sekali tak menyukainya. Saya tak terkejut dengan keputusan itu dan saya tak fikir Ole akan mendapat kesan positif perlawanan.”

Bekas pemain tengah United, Roy Keane turut berpandangan sama dengan menyalahkan kekurangan kepemimpinan salah satu punca masalah United.

Solskjaer menamatkan perlawanan dengan hanya Jesse Lingard penyerang tunggal selepas Marcus Rashford dikeluarkan akibat kecederaan pangkal paha.

"Saya tak tahu di mana hendak bermula,” kata Keane. “Saya tahu mereka tidak berada di tempat yang bagus tetapi saya terkejut dan kecewa betapa buruk permainan mereka.

"Saya tahu anda boleh tewas tetapi semuanya mengenai United. Persembahan hambar, kualiti rendah, kekurangan pemimpin dan karakter.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 11:57 AM