PEMAIN Selangor, Michal Nguyen cuba melepasi halangan import Perak, Ronaldo Silva di Stadium Perak, Ipoh. - FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail


PENGENDALI Selangor, B Sathianathan akur kekuatan tuan rumah pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Perak semalam tetapi tetap yakin The Red Giants mampu kembali bangkit dengan mempamerkan aksi cemerlang di tempat sendiri pada 29 September ini.

"Tahniah kepada Perak tetapi permainan ini masih belum habis lagi, kami masih lagi bernyawa dan kemenangan 1-0 itu tiada apa-apa.

"Saya akui Perak pasukan yang kuat apatah lagi bermain di Ipoh bukan mudah ditambah dengan kecederaan beberapa pemain. Tetapi kita akan tunggu di Shah Alam. Apa yang saya harapkan ialah sokongan padu penyokong Selangor pada perlawanan kedua," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Katanya, tonggak Selangor, Abdul Halim Saari dan Syazwan Zainon terpaksa bermain dalam kecederaan semalam dan tidak dapat memberikan prestasi terbaik selain ketiadaan ayam tambatannya, Sandro Da Silva akibat masalah sama.

Sementara itu, pengendali Perak, Mehmed Durakovic gembira dengan prestasi ditunjukkan pemain Perak yang dilihat lebih menguasai permainan berbanding Selangor serta banyak melakukan percubaan meskipun gagal disempurnakan dengan baik.

"Kami menguasai permainan dan banyak percubaan baik. Sepatutnya kami boleh menang dengan lebih banyak gol. Apa pun, pada perlwanan di Shah Alam nanti kami perlu memberikan lebih konsentrasi untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 12:17 PM