Zii Jia perlu menyerlah pada Terbuka Korea. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


SELEPAS tumpas kepada Viktor Axelsen di suku akhir Masters Malaysia Januari lalu, perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berpeluang untuk membalas dendam di Terbuka Korea.

Bagaimanapun, Zii Jia mengakui dia perlu menyelesaikan dulu perhitungan dengan Tommy Sugiarto (Indonesia) di pusingan pertama sebelum berdepan dengan Axelsen.

Menurut pemain kelahiran Kedah itu, dia sudah bersedia untuk memperagakan aksi terbaik di Terbuka Korea.

"Saya mahu menumpukan perhatian satu demi satu perlawanan terlebih dulu.

Bagaimanapun, saya harus merebut peluang yang ada.

"Selepas melepasi halangan pertama saya berharap mampu untuk menebus kehampaan menentang Axelsen. Saya berharap kali ini ia memihak kepada saya," katanya.

Zii Jia yang menghuni ranking ke-14 dunia, harus menggunakan kesempatan ini tatkala bekas juara dunia, Axelsen mengalami penurunan prestasi sejak kembali dari kecederaan minggu lalu.

Pemain antarabangsa Denmark itu berehat sejak Julai lalu dan di Terbuka China minggu lalu dia tumpas di pusingan pertama ketika berdepan wakil Jepun Kanta Tsuneyama.

"Terbuka Korea adalah kejohanan bertaraf 500 dan kami semua sedar cabaran yang bakal dihadapi sangat sukar," katanya.

Selain Zii Jia turut beraksi di Terbuka Korea ialah pemain profesional, Liew Daren dan Soo Teck Zhi, namun kedua-duanya akan memulakan aksi di pusingan kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 8:03 PM