S Kisona. FOTO File NSTP
Ferzalfie Fauzi


BIARPUN sering dibelenggu kecederaan pemain muda wanita negara, S Kisona membuktikan kemampuannya apabila muncul juara Siri Antarabangsa Sydney, Australia, semalam.

Ketua jurulatih skuad wanita, Datuk Tey Seu Bock jelas gembira dengan prestasi yang dipamerkan pemain berusia 21 tahun itu.

Menurutnya, kejuaraan kedua yang diraih pemain kelahiran Negeri Sembilan itu menunjukkan satu petanda bagus.

"Ini bagus untuk dia, selama ini dia sering dihantui masalah kecederaan berulang. Bagaimanapun, apa yang saya lihat dia sudah mula menunjukkan peningkatan bukan saja di kejohanan malah ketika dalam latihan," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kisona muncul juara di Sydney selepas menewaskan Shiori Ebihara 21-18, 21-13.

Kejuaraan pertama yang diraih pemain itu adalah di Terbuka Hellas pada Ogos lalu.

"Saya harap dia mampu untuk pergi ke peringkat lebih tinggi, saya tidak meletakkan sehingga Siri Super tapi mungkin sudah memadai di kejohanan bertaraf 100 dan 300.

"Saya gembira dengan prestasinya yang semakin konsisten. Saya tidak hanya melihat dia meningkat ketika di kejohanan tapi dalam latihan juga prestasinya sangat konsisten," kata Seu Bock.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 10:32 PM