Pemain Piala Presiden PKNS membawa bola dan cuba dihalang pemain Perak. FOTO fb FAM.

SKUAD Piala Presiden PKNS memperolehi bekalan selesa untuk berkunjung ke Ipoh pada 30 September ini selepas mencatat kemenangan 2-0 pada aksi final 1 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, malam ini.

PKNS mendahului seawal minit ketiga permainan menerusi Shivan Pillay Asokan sebelum Adib Hakimi Sabri menambah jaringan pada minit ke-36 melengkapkan kemenangan tuan rumah.

Skuad PKNS bimbingan ketua jurulatih, Shaifulnizam Ab Khamis melakukan serangan ke kubu lawan pada babak kedua perlawanan namun gagal menambah jaringan.

Malah lawan yang dibimbing oleh bekas pemain Perak, K Nantha Kumar turut gagal memperolehi jaringan selepas beberapa serangan berjaya dipatahkan pertahanan lawan dan cubaan ke arah pintu gol gagal menerjah jaring.

Perlawanan Final 2 akan berlangsung di Stadium Perak, Ipoh pada 30 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 12:04 AM