Pasukan Kampung Batin menjuarai Liga Bola Sepak DUN Seberang Takir. FOTO IHSAN PEMAIN
Malik Muhamad


PENANTIAN selama 10 tahun pasukan Kampung Batin berakhir selepas muncul juara Liga Bola Sepak Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menundukkan pasukan Seberang Takir 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Jurulatih Mohd Sabri Shafie berkata, kekecewaan pada edisi sebelum ini membakar semangat pemainnya berusaha lebih keras bagi melakar kejayaan bermakna itu.

Katanya, disiplin dan komitmen tinggi ditunjukkan pemainnya sepanjang liga berlangsung turut menjadi senjata utama skuadnya mencipta kejutan.

"Hampir 10 tahun menanti, akhirnya kami menamatkan penantian itu hasil usaha keras pemain dan juga pihak pengurusan, ia sesuatu yang membanggakan kami.

"Bagi mempertahankan gelaran pada musim depan, kami akan memulakan latihan lebih awal untuk menjadi pencabar terkuat," ujar Sabri.

Jaringan skuad Kampung Batin diperoleh menerusi Muhammad Irfan Mohd Rosdi, Badrul Amin Adam dan Nor Azmi Jaafar manakala gol tunggal Seberang Takir dijaringkan Dollah Awang.

Sebanyak 17 pasukan menyertai liga itu termasuk anggota tentera dari Kem Sri Pantai, Seberang Takir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 4:48 PM