Abu Bakar (kiri) akan berdepan skuad Aidil di Alor Setar. FOTO NSTP
Noor Hidayah Tanzizi


PENGENDALI PKNP FC, Abu Bakar Fadzim akur dengan kekalahan di laman sendiri pada suku akhir pertama menentang Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

Namun, beliau masih positif untuk meneruskan aksi cemerlang bagi mencari kemenangan di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Ahad ini.

Abu Bakar yakin skuadnya masih berpeluang dengan komitmen yang ditunjukkan anak buahnya biarpun mengakui ia sesuatu yang agak sukar.

"Kami tahu ia sukar tetapi bagi saya dengan apa yang ditunjukkan pada beberapa perlawanan sebelum ini kami masih ada ruang lagi.

"Keputusan boleh berubah jadi jangan putus asa, perlu pulih cepat dan kami akan terus melihat ke hadapan untuk perlawanan terakhir bertemu Kedah pada Ahad ini," katanya selepas tamat perlawanan berkesudahan PKNP tewas 1-2, malam tadi.

Abu Bakar memuji semangat juang pemainnya yang memberikan saingan kepada skuad Lang Merah dan membuka tirai jaringan serta kekal bertahan pada babak pertama perlawanan.

"Pada separuh masa pertama PKNP mencipta beberapa gerakan bahaya yang boleh menghukum Kedah namun pada separuh masa kedua ada sedikit kelekaan di barisan pertahanan dan kita gagal untuk mengekang dua gol mereka.

"Kami juga menyerang dan bukan hanya bertahan sahaja, jadi separuh masa kedua fokus terganggu sedikit yang menyebabkan kita dihukum," katanya.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, biarpun membawa bekalan di laman sendiri mereka kekal dengan mentaliti untuk menang untuk ke saingan separuh akhir.

"Kami harus bermain untuk menang dan tidak boleh fikirkan yang kami sudah mendahului kerana perlawanan masih terbuka.

"Jadi apa yang penting kita tidak boleh ambil mudah dan boleh melakukan apa yang kita mahu (kemenangan) di laman sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 1:57 PM