PEMAIN JDT II gembira selepas tamat perlawanan menentang TFC II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - FOTO Mohd Azren Jamaludin
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim II (JDT II) melucutkan gelaran juara bertahan Terengganu FC II (TFC II) selepas menewaskan pasukan itu 2-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan pasukan tuan rumah mara ke final dengan agregat 4-2 selepas menang 2-1 pada aksi pertama di Kuala Terengganu minggu lalu.

JDT II adalah skuad `feeder' untuk pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) manakala TFC II untuk Terengganu FC (TFC).

Dalam aksi malam tadi, pasukan JDT II nyaris membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi gerakan Nicolas Fernandez yang melorongkan bola kepada Mohamad Ghaddar namun bola rembatan leret pemain import dari Lubnan itu sempat dihalang Mohd Sharmiza Yusoff.

Sekali lagi Ghaddar terlepas peluang terhidang pada minit ke-30 apabila gagal menyudahkan bola umpanan Rozaimi Abd Rahman yang melencong masuk ke dalam kotak penalti.

TFC II yang sering diasak cuba mencuri peluang untuk mencipta jaringan bagi mengikat kedudukan agregat, namun bola sepakan percuma dari jarak 20 meter Ahmad Takhiyuddin Roslan pada minit ke-38 terkena benteng tuan rumah.

Malang buat Ghaddar yang terlepas peluang membantu tuan rumah mendahului dalam perlawanan itu apabila bola rembatan deras pada minit ke-41 singgah di palang gol ketika Mohd Sharmiza sudah tertewas.

Akhirnya penantian JDT II meleraikan kebuntuan jaringan hadir pada minit ke-53 selepas umpanan S Kumaahran membuka ruang buat Fernandez yang bertindak melencongkan bola ke penjuru kiri gawang menewaskan Mohd Sharmiza dan meletak kedudukan agregat 3-1 memihak tuan rumah.

JDT II menambah duka buat anak didik Tengku Hazman Raja Hassan selang lima kemudian apabila Rozaimi mudah menolak bola ke gawang terbuka selepas menerima bola lorongan Fernandez.

Pelawat bangkit merapatkan jurang menerusi jaringan Dechi Marcel untuk meletak kedudukan 2-1 pada minit ke-75 namun jaringan itu masih belum cukup untuk menidakkan kemenangan skuad kendalian Ervin Boban untuk layak ke final buat pertama kali dengan agregat 4-2.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 11:57 PM