Reduan anggap latihan Chandran berkesan. FOTO NSTP/ KHAIRUL AZHAR AHMAD
Reduan anggap latihan Chandran berkesan. FOTO NSTP/ KHAIRUL AZHAR AHMAD
Meor Riduwan Meor Ahmad


"PERWATAKAN mendiang begitu tegas ketika bermain atau menjadi jurulatih. Malah saya terbawa-bawa apa juga corak permainannya bila menjadi jurulatih. Tapi ia berkesan."

Demikian kata, bekas pemain kebangsaan dan jurulatih berpengalaman, Reduan Abdullah mengenai perwatakan legenda bola sepak Datuk M Chandran yang meninggal dunia di rumahnya di Ampang Jaya, Selangor pagi semalam akibat penyakit saraf.

Menurutnya pemergian mendiang pastinya ditangisi apabila membawa imej baik kepada bola sepak Malaysia apabila membantu pasukan kebangsaan layak ke Sukan Olimpik di Munich.

Katanya, banyak kenangan tidak dapat dilupakan bersama Chandran ketika bermain bersama dan menjadi anak didik kepada bekas jurulatih Selangor itu.

"Saya merasakan bila dia menjadi jurulatih, latihan diberikan amat perit kerana begitu keras sekali.

"Pada pandangan saya itulah yang menyebabkan kami menjadi pemain yang berjaya. Jika tiada latihan keras seperti dilakukan beliau, mungkin kami tidak akan mencapai tahap yang lebih tinggi," katanya ditemui ketika memberikan penghormatan terakhir terhadap di rumah mendiang semalam.

Reduan berkata, Chandran dianggap sebagai pertahanan tengah terbaik di Asia ketika zamannya dan disegani rakan sepasukan mahupun lawan.

"Corak permainan dia cukup keras dan sukar dikalahkan mana-mana penyerang di Asia.

Pasukan Korea Selatan begitu baik ketika itu tapi kita dapat tewaskan dengan ketangkasan dimiliki mendiang.

"Kami pernah main bersama waktu Selangor menentang Terengganu pada 1973 (final Piala Malaysia) dan menang 2-1," katanya.

Sementara itu, kediaman mendiang tidak putus-putus menerima kedatangan kenalan dan bekas rakan sepasukan.

Antara yang hadir termasuk Naib Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram, dua bekas Setiausaha Agung Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan dan Datuk Aizuddin Ahmad dan bekas penjaga gol kebangsaan, Wong Kam Fook.

Aizuddin ketika ditemui berkata, beliau bersahabat dengan mendiang sejak berkecimpung dalam bola sepak dan mewakili pasukan kebangsaan.

Katanya, walaupun beliau dalam pasukan Malaysia B sementara mendiang dalam pasukan senior, Malaysia A, hubungan mereka cukup akrab.

"Mendiang seorang sahabat yang baik dan mempunyai disiplin tinggi. Pada saya kita kehilangan seorang legenda yang mencurah khidmat bakti kepada negara dalam bola sepak.

"Saya amat menghargai beliau sebagai seorang yang amat tegas dalam padang bola sepak," katanya.Mengulas lanjut katanya, Malaysia memerlukan seorang jurulatih berperwatakan tegas seperti Chandran untuk membimbing pasukan kebangsaan.

"Apabila masuk ke padang soal kami sudah kenal atau bersahabat semua 'ditinggalkan' di luar. Dalam padang beliau amat tegas, berdisiplin dan serius.

"Jarang saya dapati seorang yang ada karakter boleh membimbing dan dapat kepercayaan pemain lain.

Luar padang perwatakannya lain, boleh buat dan bergurau apa saja," katanya sambil menambah mereka terus berhubungan dan kerap berjumpa selepas mendiang bersara sebagai pemain bola sepak.

Chandran mula mewakili Malaya pada usia 19 tahun di Piala Merdeka 1961 (Pestabola) tahun yang sama Malaya meraih emas Sukan SEAP, seterusnya membantu skuad negara meraih gangsa Sukan Asia 1962 di Indonesia, juara Piala Merdeka pada 1963 dan 1973 (sebagai kapten) selain gelaran naib juara pada 1972.

Mendiang juga membantu Malaysia meraih gangsa Sukan SEAP 1969, perak pada 1971 dan gangsa pada 1973 sebelum bersara selepas membantu Malaysia meraih gangsa di Sukan Asia Tehran 1974.

Beliau kemudiannya menjadi jurulatih Selangor selama lima tahun dan menjulang empat trofi Piala Malaysia dalam tempoh itu sehingga dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan pada 1982 hingga 1983 dan 1988.

Berita berkaitan:Bekas kapten bola sepak negara meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 11:53 PM