RASHID akui Zii Jia banyak menunjukkan perkembangan positif. FOTO Aswadi Alias dan Mohd Yusni Ariffin
RASHID akui Zii Jia banyak menunjukkan perkembangan positif. FOTO Aswadi Alias dan Mohd Yusni Ariffin
Ferzalfie Fauzi


“Jangan terlalu menekan Zii Jia. Ia akan merencatkan perkembangannya,” kata bekas pemain perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek ketika diminta bercakap mengenai pencapaian Lee Zii Jia ketika ini.

Menurutnya, apa yang dipamerkan Zii Jia sejak kebelakangan ini memang menunjukkan perkembangan bagus, namun semua pihak harus bersabar.

“Dia menang dengan pemain handalan dunia... itu sesuatu yang bagus termasuk ketika mengalahkan Viktor Axelsen, tapi kita tidak boleh mengharapkan dia naik dengan cepat,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Ujarnya, apa yang paling menggusarkan beliau mengenai Zii Jia ialah sindrom cepat naik, cepat jatuh.

“Biar dia naik sedikit demi sedikit untuk menjadi lebih matang dan meraih pengalaman. Jangan terlalu mengharapkan dia naik dengan cepat. Jika tidak ia akan memberikan tekanan kepadanya.

“Saya cuma risau tekanan ini akan membuatkan dia terganggu dari sudut mental. Biar dia belajar, berlatih dan menimba pengalaman,” katanya.

Ditanya mengenai jurang antara pemain nombor satu dunia, Kento Momota dan Zii Jia, Rashid mengaku ia tidak terlalu jauh.

“Semuanya bergantung kepada fokus, cara pukulan dan kemahiran. Momota lebih konsisten dan tidak melakukan kesilapan mudah. Cuma saya berasa senang dengan perwatakan Zii Jia yang berazam untuk berlatih dengan lebih keras lagi agar dapat mengalahkan Momota pada masa akan datang,” kata bekas jurulatih perseorangan lelaki negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:15 AM