Coutinho turut menjaringkan gol buat Bayern. FOTO EPA
AFP

PHILIPPE Coutinho kembali menyinar dan Robert Lewandowski melakar sejarah peribadi ketika membantu juara bertahan, Bayern Munich mendaki puncak Bundesliga dengan kemenangan 3-2 ke atas Paderborn selepas Leipzig tercicir selepas dikejutkan Schalke, awal pagi ini.

Ketika Bayern menang tipis mengatasi kelab tercorot Paderborn, Leipzig malang apabila kalah 1-3 di laman sendiri di tangan Schalke sekali gus terlepas kedudukan teratas liga.

Juara bertahan Bundesliga itu menggunakan kekuatan menjelang pertembungan menentang Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Juara-Juara, Selasa ini, sebelum Paderborn berjaya menggegar mereka.

“Kami tidak memberikan persembahan habis-habisan,” akui Serge Gnabry, yang menjaringkan gol pertama Bayern.

“Kami mempunyai banyak peluang tetapi penyudah yang menghampakan.

"Ia pasti berbeza apabila berdepan Spurs nanti, kami akan tingkatkan permainan.”


Lewandowski (kiri) meraikan jaringan bersama rakans sepasukan Kingsley Coman. FOTO EPA

Coutinho yang dipinjamkan kepada Munich selepas bergelut di Barcelona, memainkan watak penting apabila mencipta peluang untuk Gnabry memecahkan kebuntuan gol pertama seawal minit ke-15.

Babak kedua menyaksikan perancang dari Brazil itu meledak gol kedua Bayern pada minit ke-55 sebelum pemain gantian lawan, Kai Proeger merapatkan kedudukan buat Paderborn.

Lewandowski mempamerkan sentuhan penyudah pada minit ke-79 untuk menjadikan kedudukan 3-1, sekali gus muncul pemain pertama Bayern menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dan yang pertama menyumbat 10 gol dalam enam aksi.

Bagaimanapun, pada baki 10 minit terakhir, Bayern nyata tertekan selepas pertahanan Paderborn, Jamilu Collins berjaya menewaskan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer dengan rembatan dari jarak 30 meter untuk gol kedua pada minit ke-84.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 9:36 AM