Christian Pulisic. FOTO Agensi
Christian Pulisic. FOTO Agensi
Agensi

CHRISTIAN Pulisic mengakui dia agak kecewa kerana kurang diberikan peluang beraksi di bawah kendalian Frank Lampard di kelab gergasi Liga Perdana itu.

Pulisic, 21, tidak digunakan sebagai pemain simpanan Chelsea ketika kemenangan, 2-0 ke atas Brighton pada saingan Liga Perdana semalam.

Pulisic menyertai Chelsea daripada naib juara Bundesliga, Borussia Dortmund pada musim rehat lalu teruja menyertai pasukan itu dengan perpindahan bernilai £58 juta (RM298.85 juta).

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Amerika Syarikat itu hanya tampil dalam satu daripada lima perlawanan kelab itu - ketika kemenangan 7-1 pada aksi Pusingan Ketiga Piala Liga mengatasi Grimsby Town pada Rabu.

“Ya, sudah tentu, ia amat mengecewakan, tetapi saya akan berusaha keras untuk memberikan yang terbaik kerana saya mahu bermain,” kata Pulisic kepada NBC Sports selepas perlawanan semalam.

Ditanya sama ada di menerima sebarang cadangan daripada ketua jurulatih Lampard, Pulisic berkata : “Tidak begitu banyak. Dia memberitahu supaya terus berusaha dan saya perlu meningkatkan mutu permainan diri sendiri dalam latihan selain cuba untuk menempatkan diri dalam senarai pemain.

“Ia bukan perkara mudah di sini, tetapi ia bukan sesuatu yang senang.”

Pulisic melakukan enam penampilan dalam semua kejohanan dengan bintang Amerika itu belum mencetak jaringan buat Chelsea, yang berada di tangga ke enam dengan 11 mata agak jauh jika dibandingkan pendahulu liga, Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 2:44 PM